Ramai orang gemar makan udang. Udang boleh dimasak dalam pelbagai resepi. Masak lemak cili api ialah satu masakan asas orang Melayu.
Mungkin dah ramai yang pernah makan udang masak lemak cili api. Belum pernah lagi? Huu..rugi.
Yang boleh masak lemak cili api pun ramai kan? Kalau masak lemak udang cili api, boleh buat? Senang jer.
Udang ini sumber pemakanan laut. Sebetulnya apa pun jenis masakan yang nak dibuat bila guna makanan laut, bahan makanan dari laut itu mustilah yang segar.
Bahan-bahan dan cara memasak udang masak lemak cili api ini sangat ringkas, jom kita sediakan bahan-bahan udang masak lemak cili api.
Masa memasak: 30 minit
Jumlah hidangan: 4 orang
Bahan-bahan
- 500 gram udang saiz sederhana
- 15 biji cili api (boleh kurang atau lebihkan mengikut Anda)
- 3 biji bawang merah (opsyenal tambah 2 ulas bawang putih)
- 1 cawan santan pekat
- 1 inci kunyit hidup
- 1 batang serai
- 5 batang kacang panjang
- 1 helai daun kunyit
- 1 keping asam gelugor
- 2 cawan air
- Garam dan gula mengikut selera
Cara-cara
- Bersihkan udang, gunting misainya, kemudian tuskan.
- Kisar bahan-bahan cili api, bawang merah, dan kunyit hidup dengan sedikit air hingga lumat.
- Ketuk serai, potong-potong kacang panjang 3cm.
- Masukkan separuh santan, air, asam gelugor, bahan kisar tadi dan serai, ke dalam priuk.
- Masak dengan api perlahan sampai mendidih, sambil mengacau terus, supaya tidak pecah santan.
- Masukkan udang, kacang panjang, dan daun kunyit sambil teruskan mengacau.
- Bila warna udang bertukar kemerahan masukkan baki santan, teruskan sambil mengacau.
- Masukkan garam dan gula secukup rasa sambil terus kacau.
- Bila nampak kuah mendidih dan kacang panjang masak lembut, boleh tutup api. Angkat dan hidangkan.
Semua boleh masak udang cili api ini kan, sebab ringkas sangat dan senang. Udang masak lemak cili api memang membuka selera.

Rasa udang yang manis, lemak serta lembut bila dikunyah ini berpadu dengan rempah masak lemak cili api yang harum dan menyelerakan, memanglah sedap.
Tapi musti ingat ya, kuah hendaklah sentiasa dikacau supaya tidak pecah santan.
Dan bila masak udang jangan terlalu lama kerana udang akan menjadi liat serta hilang manisnya. Usah lengah lagi, cubalah.