Anda teringin nak makan ikan bakar? Ikan pari antara ikan yang sedap untuk dibuat ikan bakar. Ikan bakar ni kuncinya pada sambal.
Jika sedap sambal, maka pakai ikan apa pon sedaplah jadinya. Mari saya kongsikan resipi Ikan Pari Bakar Sambal simple untuk anda.
Masa memasak: 30 minit
Jumlah hidangan: 3 orang
Bahan-bahan
- ½ kilo ikan pari
- Beberapa helai daun pisang
- 3 biji atau lebih limau kasturi
- daun ketumbar-racik kasar
- garam
Sambal Ikan Bakar
- 15 tangkai cili kering (atau lebih) – potong dan rendam
- 3 biji bawang besar
- 2 biji bawang putih
- ½ cm belacan
- 1 biji tomato
Bahan pencincah (sambal kicap)
- Cili padi 5-10 tangkai -ikut selera
- 5 ulas bawang putih
- 1 sudu gula pasir
- 1 sudu gula merah
- garam secukup rasa
- serbuk perasa
- sedikit jus limau
Cara penyediaan
- Cuci ikan pari sehingga bersih. Lumurkan dengan asam jawa tanpa air bagi menghilangkan bau. Boleh juga rendam di dalam air kapur selama 5 minit bagi menghilangkan bau hancing ikan pari.
- Kisar semua bahan untuk sambal ikan bakar. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik minyak. Gaul rata jangan sampai hangus.
- Masukkan garam dan perasa. angkat dan ketepikan setelah sambal garing.
- Alas daun pisang diatas alat pembakar. Letak sedikit sambal kemudian letak ikan. Tutupkan ikan dengan sambal sekali lagi. Bakar ikan sehingga masak.
- Perahkan limau dan taburkan daun ketumbar semasa dihidangkan.
Cara membuat sambal kicap
Seterusnya kita buat pula sambal kicap.
- Goreng terlebih dahulu cili padi bersama bawang putih sehingga kulit cili nampak agak masak sedikit dan bawang putih nampak kekuningan.
- Tumbuk cili padi dan bawang putih tadi bersama gula pasir dan gula merah, garam dan perasa.
- Apabila sudah siap ditumbuk, bolehlah tambahkan kicap manis dan sedikit jus limau.
- Sedia untuk dihidang.

Masakan ini boleh dimakan dengan nasi putih tanpa lauk lain pon dah sedap dah.
Ratah lauk sahaja pon sedap. Sesuai sangat untuk dimakan seisi keluarga. Semoga bermanfaat.