Dilema suri rumah biasanya apabila setiap hari nak kena fikir apa menu nak masak untuk keluarga kan?
Saya pon selalu pening bila fikirkan menu setiap hari. Harini saya nak kongsikan menu simple tapi sangat digemari seisi keluarga.
Resipi yang akan saya kongsikan harini adalah Ayam Masak Kicap. Sebenarnya Ayam Masak Kicap ada banyak versi. Resipi ini adalah antara resipi yang saya kerap guna dan sangat mudah serta sedap.
Saya kongsikan resipinya di bawah:
Masa memasak: 20 minit
Jumlah hidangan: 4 orang
Bahan-bahan
- 6-7 ketul ayam
- kicap lemak manis
- ½ biji bawang besar holland – belah 6
- 1 tangkai cili merah/cili padi
- Beberapa helai daun kari – jika ada
Bahan tumbuk
- 3 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- Sedikit lada hitam
Cara penyediaan
- Basuh ayam sehingga bersih.
- Lumurkan ayam dengan sedikit garam dan kunyit.
- Masukkan 2 cawan minyak masak ke dalam kuali dan panaskan minyak.
- Setelah minyak panas, gorengkan ayam sehingga separa garing (jika suka ayam garing, boleh goreng sehingga garing).
- Angkat ayam dan toskan.
- Keluarkan minyak dan tinggalkan 3 sudu minyak untuk menumis.
- Tumiskan bahan yang ditumbuk tadi sehingga wangi.
- Masukkan daun kari jika ada.
- Masukkan pula ayam yang telah digoreng tadi dan kacau rata.
- Masukkan kicap lemak manis secukupnya. Boleh tambah sedikit air sekiranya kuah terlalu pekat dan nak banyak kuah.
- Akhir sekali, masukkan bawang besar holland dan cili padi/cili merah.
- Sesuaikan rasa menggunakan garam dan gula.
- Setelah sebati dan mendidih boleh tutup api. Ayam Masak Kicap sedia untuk dihidang.
Tips
Walaupon ayam digoreng separa garing, pastikan ayam masak sepenuhnya. Gunakan api sederhana dan pastikan ayam masak sepenuhnya sebelum diangkat.

Semoga resipi ini bermanfaat untuk anda. Walaupon resipi ini simple sahaja tapi apa yang penting adalah air tangan ibu yang memasak itu.